SEJARAH SEKOLAH
Sekolah
Kebangsaan Air Baruk, Jasin terletak kira-kira 30 km dari bandar Melaka
dan kira-kira 1 km dari Pekan Jasin. Sekolah ini terletak bersebelahan
dengan sekolah Menengah Datuk Bendahara dan Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan (Tamil) Jasin. Jalan masuk sekolah ini bertentangan dengan
Pejabat RISDA, Jasin dan Mahkamah Jasin.
Nama asal sekolah
ini ialah Government English School Jasin iaitu sekolah bantuan penuh
kerajaan. Kerja pembinaannya bermula sejak tahun 1952 tetapi sekolah ini
mula digunakan pada 12.01.1953.
Sekolah ini ditubuhkan
dengan desakan masyarakat setempat tetapi tidak tercatat siapakah
pengasas sekolah ini. Pembinaan sekolah ini ialah untuk memberi peluang
lebih ramai kanak-kanak dari sekitar Jasin ini dapat bersekolah dalam
aliran Inggeris.
Sebelum itu, mereka yang bersekolah
aliran Inggeris akan berulang alik ke Bandar Melaka. Bilangannya pun
sangat kecil. Sekolah ini mempunyai keluasan 6 ekar. 0rd. 35pl. Bangunan
asal sekolah ini ialah sebuah bangunan batu (kekal) beratap genting,
mengandungi empat bilik darjah, bilik pejabat dan sebuah setor.
Pada
mulanya sekolah ini ditubuhkan, cuma 5 orang guru sahaja menjalankan
tugas iaitu seorang guru besar dan 4 orang guru penolong. Guru Besar
yang pertama ialah En. R. Sathasivam. Jumlah murid pertama ialah 142
orang terdiri dari berbilang kaum yang datang dari sekitar kawasan Jasin
dan sebahagian kecil dari Merlimau.
Majlis perasmian
sekolah ini telah disempurnakan pada 04.02.1053 dan telah dilakukan oleh
En. G.E.C Wisdom. Residen Commissioner Melaka ketika itu.
Oleh
kerana sekolah ini adalah hasil desakan masyarakat maka tentunya
sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa untuk menghantar anak mereka
belajar di sekolah ini. Dengan itu, petambahan murid dari tahun ke tahun
amat ketara sekali. Pertambahan bilangan murid mendorong kepada
pertambahan bangunan.
Tahun 1953 dibina 4 buah bilik kelas
Tahun 1954 dibina 4 buah lagi bilik kelas
Tahun 1960 dibina 4 buah lagi bilik kelas
Tahun 1967 dibina 2 bilik kelas
Tahun 1967 dibina tempat basikal dan sebuah kantin.
Ini menjadikan sekolah ini mempunyai 3 blok bangunan dengan 18 bilik darjah dan keramaian muridnya ialah 1376 orang.
Pada
tahun 1971, Jabatan Pendidikan Melaka telah memberi kebenaran untuk
memecahkan sekolah ini kepada dua sessi iaitu jasin English School (1)
dan Jasin English School (2). Kedua-dua sekolah ini menggunakan bangunan
yang sama tetapi guru-guru yang berasingan dan bergilir-gilir belajar
dengan 6 bulan pagi dan 6 bulan petang.
Mulai 01.01.1976, nama kedua-dua sekolah ini telah ditukarkan :-
Jasin English School (1) ditukar nama Sekolah Rendah Kebangsaan Air Baruk.
Jasin English School (2) ditukar nama Sekolah Rendah Kebangsaan Paya Batu.